JADIKAN RUKUNEGARA MUKADIMAH PERLEMBAGAAN

Rukunegara seharusnya dijadikan mukadimah dalam perlembagaan Malaysia. Terdapat tujuh sebab yang kukuh atas cadangan ini.

Pertamanya, objektif Rukunegara adalah berkait rapat dengan nilai-nilai abadi— nilai-nilai seperti perpaduan, keadilan dan kebebasan. Mukadimah dalam kebanyakan perlembagaan menzahirkan kualiti yang merentasi masa kerana ia bukan sahaja untuk masyarakat hari ini malah untuk masa hadapan.

Kedua, objektif dan prinsip Rukunegara adalah bersifat inklusif yakni menyeluruh. Rukunegara merangkumi jantina, kaum, agama dan bangsa. Inilah faktor yang menjadikan Rukunegara, berpotensi untuk mewujudkan perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat di Malaysia.

Ketiga, Rukunegara memiliki kesahihan  yang tinggi dan tersendiri. Keseluruhan prinsip dan objektif Rukunegara adalah serasi dengan sentimen majoriti rakyat Malaysia. Ini termasuklah prinsip pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, dan juga objektifnya yang memberi penekanan terhadap cara hidup yang demokratik. Selain itu, filosofi kebangsaan ataupun ideologi atau apa jua gelaran terhadap Rukunegara ini, ia telah dirangka oleh Majlis Perundingan Negara— yang beroperasi ketika Perisytiharan Darurat— dimana mereka ini mewakili pelbagai lapisan masyarakat ketika itu. Ketika itu, setiap  agama, wakil buruh dan ahli perniagaan, parti politik daripada kerajaan dan pembangkang (kecuali sebuah parti ) telah terlibat dalam Majlis Perundingan Negara yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak. Kesahihan Rukunegara dikukuhkan lagi oleh perisytiharannya oleh Yang Dipertuan Agong pada 31 Ogos 1970.

Keempat, Rukunegara yang sahih, menyeluruh dan merentasi masa ini harus diperkukuhkan lagi dengan ditabalkan sebagai undang-undang. Hanya selepas itu mahkamah boleh memberi makna dan isi terhadap Rukunegara. Walaupun dalam beberapa dasawarsa kebelakangan ini terdapat segelintir hakim yang cuba mengutarakan nilai Rukunegara dalam penghakiman mereka, ia tidak diguna pakai dalam proses pengadilan.

Kelima, tatkala, persepsi negara dan masyarakat dilihat sudah menjadi semakin bercanggah dewasa ini, adalah wajar untuk kita kembalikan semula falsafah teras yang mampu untuk mengikat kembali perpaduan masyarakat. Tiada alasan kenapa rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang dan kepercayaan tidak dapat bersatu melalui objektif dan prinsip yang mantap seperti Rukunegara.

Keenam, peningkatan darjat Rukunegara telah menjadi lebih penting kerana oleh desakan sebahagian masyarakat Muslim untuk undang-undang dan dasar-dasar yang mencerminkan tafsiran sempit mereka terhadap agama—tafsiran yang tidak semestinya mewakili intipati Islam. Oleh kerana kecenderungan yang semakin kuat ini, kita perlu memperkasakan sebuah falsafah yang komprehensif dan pada masa yang sama sebati dengan nilai dan aspirasi Islam.  Panca Sila, prinsip panduan yang diamalkan di negara Indonesia mempunyai banyak persamaan dengan Rukunegara, dan telah lama berakar umbi dalam jiwa rakyat Indonesia telah memainkan peranan yang besar dalam mencegah ketaksuban dan dogmatik di negara Islam terbesar di dunia itu.

Ketujuh, dalam menentang beberapa kumpulan Islam yang fanatik terdapat satu trend lain yang berkaitan dengan segelintir masyarakat bukan Islam iaitu fahaman sekular yang cuba untuk menafikan peranan agama dalam masyarakat. Dalam sebuah masyarakat di mana Islam telah menjadi faktor asas dalam membentuk identiti majoriti masyarakat, adalah naif untuk cuba meminggirkan agama dalam menangani cabarab-cabaran kemasyarakatan. Isu sebenarnya ialah bagaimana Islam difahami dan diamalkan. Prinsip pertama Rukunegara, Kepercayaan Kepada Tuhan menyatakan dengan jelas visi universal tentang agama yang merentasi sempadan agama dan diperkukuh lagi dalam prinsip kelima Rukunegara, Kesopanan dan Kesusilaan yang tidak terhad kepada penganut agama tertentu.

Terdapat sejarah dalam usaha untuk menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Malaysia. Pada awal tahun 1971, Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas, dalam eseinya yang bertajuk “The Rukunegara and the Return to Democracy in Malaysia” (Pacific Community Volume 2, Nos 1-4, Tokyo) berhujah bahawa Rukunegara dapat memenuhi fungsinya sebagai mukadimah. “Ia boleh dipertimbangkan”, beliau menulis. “sebagai pengenalan yang sesuai kepada Perlembagaan. Ia mencerminkan trend utama dalam pemikiran politik dan falsafah negara”. Beliau juga menyatakan dalam eseinya bahawa “Allahyarham Dato Onn bin Ja’afar, pengasas dan presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), pemimpin politik pertama yang muncul selepas perang Malaya mengeluh kepada saya secara peribadi bahawa Perlembagaan kita tidak mempunyai mukadimah,”katanya

Selepas Rukunegara dirasmikan sebagai falsafah negara pada bulan Ogos 1970, Tun Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman memberi beberapa penekanan kepada dokumen itu melalui sekolah dan media. Pada pertengahan dasawarsa tujuh puluhan, selepas kematian Tun Razak dan Tun Dr Ismail, Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn dan salah seorang menteri utamanya, Tun Muhammad Ghazali Shafie terus memperjuangkan Rukunegara. Bermula pada tahun lapan puluhan falsafah negara ini sudah mula kurang diperjuangkan. Pada tahun 2005 dan 2006, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, terdapat usaha untuk menghidupkan semula falsafah ini tetapi ia tidak tercapai.

 

 

 

Sejak awal 80-an, sebahagian daripada kami—aktivis sosial dan ahli akademik—telah berusaha untuk memastikan Rukunegara terus hidup melalui penulisan, seminar dan forum. Objektif dan prinsip Rukunegara telah dijadikan kayu ukur untuk menilai keberkesanan dasar-dasar pemerintah. Walau bagaimanapun, usaha yang dijalankan oleh kami ketika itu tidak mampu menghasilkan sebarang impak.

Kini, sekali lagi, kami berusaha untuk memartabatkan status dan peranan Rukunegara. Dalam arus cabaran yang pelbagai pada masa kini, menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah perlembagan akan memperkasakan nilai Rukunegara. Ini akan memudahkan keupayaan warga Malaysia untuk memastikan bahawa mereka yang berkuasa dan berautoriti membuktikan bahawa mereka komited terhadap objektif dan prinsip-prinsip Rukunegara melalui amalan-amalan mereka.

 

Dr. Chandra Muzaffar adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan1Malaysia.

 

Petaling Jaya.

 

26 September 2016.

The Categories: Uncategorized