RUKUNEGARA SEBAGAI MUKADIMAH PERLEMBAGAAN (SOALAN DAN JAWAPAN)

RUKUNEGARA SEBAGAI MUQADDIMAH PERLEMBAGAAN

 

SOALAN DAN JAWAPAN

 

Melalui format Soal-Jawab, kami berusaha untuk memberikan penjelasan dan huraian yang berkaitan dengan inisiatif untuk menjadikan Rukunegara sebagai Muqaddimah kepada Perlembagaan Malaysia.

 

  1. Mengapa Rukunegara tidak dijadikan Muqaddimah kepada Perlembagaan bila ia diisytiharkan kepada negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970?

 

Langkah sedemikian memerlukan pindaan kepada Perlembagaan di bawah Perkara 159(3) yang diluluskan oleh dua pertiga daripada jumlah ahli untuk dua dewan di Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ia tidak dapat dilakukan kerana Parlimen tidak berfungsi pada masa itu. Pemerintahan berparlimen telah digantung selama 21 bulan berikutan rusuhan pada 13 Mei 1969 dan  pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan.

 

  1. Kenapa selepas pemerintahan berparlimen dipulihkan pada bulan Februari 1971, Rukunegara masih lagi tidak dimasukkan ke dalam Perlembagaan sebagai Muqaddimah?

 

Ada yang berhujah bahawa ia adalah sepatutnya. Terdapat sesetengah pihak yang lain merasakan bahawa sejak Rukunegara mendapat perkenan daripada raja yang menduduki tempat yang paling tinggi dalam sistem pemerintahan negara, tidak ada keperluan untuk membentangkan Rukunegara di Parlimen. Ia telah disahkan oleh penyandang jawatan tertinggi di negara ini.

 

  1. Jika demikian halnya, mengapa sekarang Rukunegara perlu untuk dibawa ke Parlimen dan menjadikan ia Muqaddimah kepada Perlembagaan?

 

Terdapat sekurang-kurangnya tiga sebab yang menarik untuk inisiatif ini. Pertama, walaupun Rukunegara telah dibentangkan kepada rakyat sebagai ideologi negara ia tidak memainkan peranannya selama hampir empat dekad sekarang. Objektif dan prinsip-prinsip Rukunegara tidak berfungsi sebagai sumber rujukan dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar awam. Begitu juga ideologi negara ini tidak diguna pakai dalam pembentukan undang-undang di Malaysia. Tidakkah sepatutnya Rukunegara perlu dijadikan sebagai garis panduan dan kompas dalam perjalanan negara kita — kompas yang menetapkan hala tuju kita? Kedua, bukankah pada masa seperti ini ia lebih penting apabila terdapat begitu banyak perpecahan dan pertelingkahan dalam masyarakat? Apabila sikap eksklusif menjadi lebih berleluasa, sepatutnya kita perlu beralih kepada  prinsip dan objektif inklusif yang akan mengikat kita bersama-sama.  Dan kerana Rukunegara sudah sebati dengan kita, mengapa tidak kita manfaatkan kekuatannya? Ketiga, dengan adanya Rukunegara dalam Perlembagaan, kita bukan sahaja mengingatkan diri kita terhadap sesuatu yang telah kita jadikan sebagai matlamat dan prinsip negara tetapi kita juga memperlihatkan watak dan identiti Malaysia. Ini akan memastikan bahawa kita tidak terjerumus ke arah yang boleh memudaratkan kepentingan kita sendiri.

 

  1. Secara realitinya Rukunegara, walaupun tidak dijadikan fokus utama secara menyeluruh di peringkat pusat dan tidak diangkat sebagai Muqaddimah kepada Perlembagaan kita, Malaysia masih lagi dianggap sebagai negara yang lebih baik berbanding kebanyakan negara lain. Oleh yang demikian, mengapa kita masih perlu menjadikan Rukunegara sebagai Muqaddimah Perlembagaan?

 

Kita semua berbangga dengan pencapaian negara kita dalam tempoh 59 tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, tidak bermakna kita harus mengabaikan cabaran yang begitu banyaknya yang kita hadapi sebagai satu bangsa. Seperti yang kita perhatikan dalam jawapan kita kepada Soalan 3, penyebaran sikap eksklusif  menjadi salah satu daripada masalah ini. Ia akan membawa kesan buruk kepada hubungan antara kaum dan agama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama yang paling kompleks di dunia. Dalam hal ini, isu-isu yang berkaitan dengan hubungan antara Sabah dan Sarawak, pada satu pihak dan Putrajaya, pada pihak yang lain dalam konteks pembentukan Malaysia yang baru timbul dewasa ini memerlukan penyelesaian yang adil. Jurang ekonomi dalam komuniti telah menjadi semakin ketara sebagaimana juga dengan jurang antara kaum dan antara wilayah. Masih ada ruang untuk meningkatkan akauntabiliti dan memperkukuh tadbir urus demokratik. Ini hanya akan berlaku apabila integriti dan kejujuran dalam kehidupan masyarakat menjadi norma yang mencorakkan budaya negara kita. Nilai-nilai yang menekankan setiap satu daripada cabaran-cabaran ini — perpaduan; keadilan; demokrasi; akhlak — diberi penekanan oleh Rukunegara. Inilah sebabnya mengapa mengutamakan Rukunegara melalui Perlembagaan negara adalah sangat penting pada ketika ini dalam sejarah kita.

 

  1. Apakah Rukunegara masih relevan — selepas 46 tahun?

 

Atas sebab-sebab yang telah dihuraikan, ia adalah lebih relevan kini berbanding dengan waktu ia diperkenalkan. Selain itu, objektifnya seperti keadilan dan perpaduan benar-benar bersifat sejagat. Rukunegara merentasi masa dan tempat. Prinsip-prinsip seperti Kepercayaan kepada Tuhan dan Kedaulatan Undang-Undang adalah sesuatu yang kekal dan relevan kepada setiap generasi.

 

 

  1. Adakah benar Rukunegara tidak merujuk kepada beberapa isu penting?

 

Tiada dokumen, tiada piagam dan tiada ideologi yang merujuk kepada semua cabaran yang didepani oleh sesebuah masyarakat. Benar bahawa Rukunegara tidak menamakan rasuah sebagai bencana masyarakat. Dan Rukunegara juga tidak menyebut tentang isu alam sekitar. Akan tetapi, sebahagian daripada prinsip dan matlamat yang terdapat di dalam Rukunegara boleh diaplikasikan dalam cabaran-cabaran ini dan dalam cabaran-cabaran yang bakal muncul kelak.

 

  1. Dengan mencadangkan Rukunegara dijadikan sebagai Muqaddimah kepada Perlembagaan, adakah kita dianggap bersalah kerana terlampau terikat dengan nilai-nilai dan cita-cita?

 

Ia adalah penting bahawa perlembagaan negara merangkumi cita-cita dan nilai-nilai tertentu. Nilai-nilai dan cita-cita ini menjadi piawaian kepada pemimpin dan rakyat agar dapat berusaha untuk mencapainya. Sebagai contoh, jika kita ingin membina masyarakat yang adil di mana kekayaan negara boleh dikongsi bersama, kita akan menjadi lebih berwaspada terhadap kewujudan ketidaksamaan dan jurang serta akan berusaha untuk mengatasi masalah-masalah ini. Begitu juga sekiranya masyarakat progresif berorientasikan kepada sains moden dan teknologi merupakan matlamat kita, kita akan lebih gigih untuk memupuk sikap rasional  dan saintifik dalam kalangan rakyat melalui sistem pendidikan. Sekiranya Keluhuran Perlembagaan merupakan satu prinsip yang dapat membimbing, maka rakyat akan lebih berhati-hati terhadap mana-mana penyalahgunaan undang-undang akibat pendakwaan selektif atau perbuatan rasuah. Inilah sebabnya objektif-objektif dan prinsip-prinsip Rukunegara harus diintegrasikan dalam Perlembagaan.

 

 

  1. Adakah prinsip pertama “Kepercayaan kepada Tuhan” dalam Rukunegara menggalakkan sesetengah individu untuk berhujah bahawa semua agama perlu diberi layanan yang sama dan oleh itu, melemahkan Perkara 3 dalam Perlembagaan berkaitan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan?

 

Bersama dengan Perkara 3 berkenaan Islam adalah Perkara 11 yang berkaitan dengan kebebasan beragama. Jadi, Perlembagaan sejak dari dahulu mengiktiraf kepelbagaian agama tetapi memberi keutamaan kepada Islam untuk bidang-bidang rasmi. Rukunegara mengekalkan toleransi kepada semua agama.

 

Lagi pun,  “Kepercayaan kepada Tuhan”  tidak melanggar malah mengukuhkan lagi prinsip tauhid dalam  Islam  yang merupakan asas Islam.

 

  1. Walau bagaimanapun, tidakkah prinsip seperti “Kepercayaan kepada Tuhan”
    ini mewujudkan ketidakselesaan dalam kalangan ateis dan agnostik?

 

Kepercayaan kepada Tuhan merupakan kepercayaan sebahagian besar rakyat Malaysia. Di dalam masyarakat demokratik, kita tidak boleh mengabaikan kepercayaan yang begitu penting kepada masyarakat majoriti. Namun, kepercayaan ini tidak boleh dan tidak harus dipaksa terhadap ateis  dan agnostik. Tidak ada paksaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan iman. Ini adalah inti dan asas Islam, agama Persekutuan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.

 

Sekiranya mereka yang percaya kepada Tuhan benar-benar memahami apa yang dimaksudkannya dan hidup sebati dengan kepercayaan ini, masyarakat secara keseluruhannya akan menjadi lebih inklusif dan memeluk setiap insan sebagai insan  termasuk sesiapa yang tidak percaya kepada Tuhan.

 

 

  1. Bagaimanapun, adakah objektif-objektif Rukunegara ini memberi kesan kepada dasar-dasar awam yang tertentu? Sebagai contoh, objektif ‘perpaduan yang lebih erat dalam kalangan rakyat’ boleh digunakan untuk menolak dasar-dasar seperti pengambilan hanya bumiputera ke dalam UiTM.

 

Apa salahnya untuk mewujudkan perpaduan yang lebih erat ? Perpaduan yang lebih erat merupakan satu matlamat utama negara – di sini dan di mana sahaja. Perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum dalam negara dan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak merupakan matlamat kerajaan dan rakyat sejak awal kemerdekaan kita lagi.

 

Dasar-dasar di bawah Perkara 153 dalam Pelembagaan jika dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan betul, ianya boleh menggalakkan perpaduan dan kestabilan yang lebih kukuh. Jika Perkara 153 dikuatkuasakan dengan semangat seperti mana ia telah digubal, ia akan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan akan membawa rakyat bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke dalam arus perdana kehidupan ekonomi dan pada masa yang sama membenarkan kaum lain meneruskan wawasan mereka tentang kehidupan  yang baik mengikut batas undang-undang. Ini akan menggalakkan kestabilan dan perpaduan yang lebih utuh dalam jangka masa panjang.

 

  1. Tidakkah dasar-dasar lain yang mengutamakan bumiputera juga akan terjejas?

 

Membuat perbandingan di antara Rukunegara dengan keutamaan bumiputera adalah tidak adil. Kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak termaktub dalam Perlembagaan dan Rukunegara yang menekankan dalam prinsip ketiga “Keluhuran Perlembagaan’ jelas menyatakan penerimaan Perlembagaan secara keseluruhan termasuk peruntukan di dalam Perlembagaan mengenai hak etnik.

 

  1. Jika Rukunegara sebagai Muqaddimah mempunyai kuasa undang-undang, adakah ia akan mewujudkan hak yang tidak terdapat di dalam Perlembagaan dan merampas peranan badan perundangan? Bukankah ini melanggar pengasingan kuasa?

 

Pertama, salah satu daripada ciri-ciri asas undang-undang adalah bahawa undang-undang mestilah tepat di dalam kandungannya. Jika tidak, ia tidak boleh dikuatkuasakan. Di mana-mana tempat di dunia ini, muqaddimah sama ada di dalam Perlembagaan atau statut mengandungi nilai yang tinggi. Ia merupakan kenyataan yang luas dan mempunyai matlamat dan tujuan yang menyeluruh, impian dan permintaan, nilai-nilai dan cita-cita. Di kebanyakan negara di dunia (India sebagai salah satu pengecualian) muqaddimah di dalam perlembagaan adalah seperti cahaya petunjuk, satu carta dan kompas, suatu panduan tindakan, panduan kepada tafsiran perlembagaan tetapi bukan undang-undang yang berkuatkuasa. Ia tidak seperti artikel tertentu dalam Perlembagaan yang mengandungi hak atau tanggungjawab tertentu. Muqaddimah adalah satu kenyataan umum yang tidak mempunyai penguatkuasaan.

 

Kedua, bukan sahaja Perlembagaan tetapi segala statut mempunyai muqaddimah. Tiada siapa yang pernah menang atau kalah dalam kes semata-mata berdasarkan muqaddimah tanpa menghubungkan muqaddimah dengan peruntukan undang-undang tertentu yang mewujudkan hak atau tanggungjawab. Dengan sendirinya muqaddimah tidak mencipta hak atau tanggungjawab yang boleh dikuatkuasakan.  .

 

Ketiga, rasa bimbang akan Rukunegara mempunyai hak-hak yang tidak selaras dengan Perlembagaan atau mencabuli peruntukan perlembagaan kita adalah tidak berasas. Rukunegara telah digubal oleh patriot-patriot kita yang merupakan insan yang berilmu, yang mempunyai integriti tinggi dan yang memahami asas-asas Perlembagaan. Penggubalan oleh mereka berkenaan prinsip dan objektif Rukunegara tidak melanggar, malahan merangkumi semangat sebenar Perlembagaan kita.

 

Keempat, bantahan bahawa muqaddimah akan merampas peranan badan perundangan dan akan melanggar doktrin pengasingan kuasa adalah tidak berasas sama sekali kerana hasrat kami ialah agar Parlimen akan menjadikan Rukunegara sebagai muqaddimah Perlembagaan kita satu hari nanti.

 

  1. Jika hakim menggunakan Rukunegara dalam mentafsir Perlembagaan, tidakkah percanggahan akan timbul dan bercanggah dengan tujuan asal Perlembagaan?

 

Rukunegara dan Perlembagaan melengkapi antara satu sama lain. Pemahaman yang lebih tinggi terhadap Rukunegara akan melengkapi dan bukannya melemahkan Perlembagaan. Rukunegara adalah sepenuhnya selaras dengan niat asal Perlembagaan. Sebaliknya, amalan Perlembagaan selepas 1980-an  yang bercanggah dari tujuan asal nenek moyang kita dan dari cita-cita Rukunegara kita.

 

Walau bagaimanapun, jika terdapat pernyataan dalam muqaddimah yang bercanggah dengan peruntukan tertentu dalam suatu hukum, peruntukan khusus akan digunakan. “Khas mengatasi Umum” adalah pepatah undang-undang yang terkenal. Semua undang-undang mempunyai arus dan merentas arus, peruntukan am dan peruntukan khas, kaedah-kaedah umum dan pengecualian tertentu. Undang-undang bukan jalan yang lurus tetapi penuh liku-liku. Hakim adalah lebih daripada mampu untuk menyelesaikan sebarang konflik. Terdapat banyak contoh serta tafsiran peraturan untuk membolehkan hakim mentafsir Perlembagaan secara harmoni.

 

  1. Adakah menjadikan Rukunegara sebagai muqaddimah di peringkat kemudian akan menggantikan peruntukan yang sedia ada di dalam Perlembagaan?

 

Seperti yang telah dikatakan sebelum ini, Rukunegara merupakan cahaya petunjuk. Impian dan rayuan (supplication) Rukunegara tidak boleh mengatasi peruntukan jelas di dalam Perlembagaan.

 

  1. Adakah menjadikan Rukunegara sebagai Muqaddimah Perlembagaan akan menyebabkan tindakan undang-undang yang diambil lebih menyusahkan?

 

Terdapat kira-kira 160 Perlembagaan di dunia ini mempunyai muqaddimah. Tidak ada bukti yang menunjukkan berlakunya litigasi yang menyusahkan yang berhubung kait dengan muqaddimah perlembagaan.

  1. Apakah hak demokratik atau kesahihan yang ada pada kumpulan yang mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan supaya Rukunegara dijadikan Muqaddimah Perlembagaan ?

 

Di kebanyakan negara, rakyat dibenarkan untuk mengambil bahagian di dalam proses perundangan.

  • Di Australia, pindaan Perlembagaan memerlukan mandat rakyat melalui referendum. Di UK, Akta Referendum membenarkan kerajaan untuk mendapatkan persetujuan rakyat dalam inisiatif perundangan.
  • Kebanyakan negeri-negeri di Amerika Syarikat membenarkan sebahagian pengundi untuk memohon memulakan atau menarik balik semula undang-undang.
  • Di Malaysia, berunding dengan mereka yang mempunyai kepentingan atau melantik jawatankuasa rakyat sebelum enakmen undang-undang adalah amalan biasa.
  • Perintah Tetap Dewan Rakyat membenarkan Jawatankuasa Perundangan Khas untuk berunding dengan kelompok rakyat.
  • Prosedur Rang Undang-Undang Persendirian membolehkan pihak luar daripada Parlimen untuk merangka cadangan perundangan Parlimen.
  • Dalam Islam, shura atau perundingan antara penguasa dan yang diperintah adalah digalakkan.

Walaupun tidak ada peruntukan jelas di Malaysia yang memerlukan mana-mana bentuk penyertaan demokratik, inisiatif rakyat untuk meminda Perlembagaan adalah tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang dan merupakan penegasan terhadap demokrasi.

 

 

 

 

 

—————————————————————————————————————–

The Categories: Uncategorized