Kenyataan Akhbar Pelancaran Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan

JADIKAN RUKUNEGARA SEBAGAI MUKADIMAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA

 

KUALA LUMPUR, 23 Januari 2017 – Sekumpulan pemimpin masyarakat sivil telah melancarkan satu inisiatif untuk menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Juga dikenali dengan singkatan RMP, ianya bertujuan untuk melancarkan semula dokumen negara tersebut sebagai kenyataan pembukaan kepada undang-undang yang paling tinggi di Malaysia.

“Rukunegara memperkukuhkan lagi matlamat-matlamat dan prinsip-prinsip yang dipegang oleh majoriti besar rakyat Malaysia. Ianya perlu dijadikan semula sebagai tumpuan masyarakat. Ianya wajar termaktub sebagai mukadimah di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Dr Chandra Muzaffar, yang juga pengerusi inisiatif RMP.

Langkah untuk membuat Rukunegara sebagai carta dan kompas negara juga telah disokong oleh lebih daripada 100 ahli masyarakat sivil dari Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.

Ahli-ahli lain inisiatif RMP terdiri dari: pakar perlembagaan Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi; aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir dan Cik Zainah Anwar; ahli akademik Prof. Datuk Dr. Tan Chong Tin dan Prof. Madya Dr. Madeline Berma; dan peguam Cik Firdaus Husni.

Kumpulan ini akan menjalankan beberapa aktiviti untuk mempopularkan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan, bermula dengan usaha untuk mendapat lebih banyak tandatangan rakyat Malaysia yang menyokong matlamat murni ini.

Diisytiharkan kepada rakyat oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong yang keempat pada Hari Kemerdekaan tahun 1970, Rukunegara merupakan ideologi yang berazam untuk mewujudkan satu platform di mana masyarakat yang pelbagai kaum dan agama di Malaysia dapat hidup bersama.

Ia dibenihkan selepas kejadian berdarah 13 Mei dan digubal melalui proses perundingan yang melibatkan spektrum luas masyarakat Malaysia. Majlis Perundingan Negara terdiri daripada 67 individu di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu tersebut yang kemudiannya menjadi perdana menteri kedua negara.

Sejak itu, Rukunegara sebagai dokumen yang boleh menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia telah dipinggirkan. Ia tidak lagi dijadikan sebagai garis panduan dalam penggubalan dasar atau pembentukan undang-undang. Inisiatif RMP mahu mengubah situasi ini melalui aktiviti-aktiviti kempen mereka.

“Dewasa ini, di mana terdapat mereka yang meragui atau berfikiran sinis terhadap keluhuran Perlembagaan, Rukunegara boleh menjadi satu seruan lantang untuk menghormati maksud undang-undang asas negara, sama ada yang tersurat atau tersirat, dan juga latar belakang sejarahnya,” kata Dr Shad Faruqi.

Kumpulan ini dibantu oleh Yayasan 1Malaysia yang bertindak sebagai Sekretariat bagi inisiatif tersebut.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai inisiatif RMP, sila hubungi Cik Ong Yuen Ling di alamat emel yuenling@yayasan1malaysia.org atau telefon 03-7781 4575

The Categories: Uncategorized
  • Julz

    All of these articles have saved me a lot of heacdahes.

    Reply

Leave Comment