Text Ucapan Dr Chandra RMP Launch

PENGENALAN — RUKUNEGARA SEBAGAI MUKADIMAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA.

 

Ucapan Dr. Chandra Muzaffar, Pengerusi, Kumpulan RMP selaku Pengerusi Yayasan 1Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim.

Tan Sri – Tan Sri, Puan Sri – Puan Sri, Dato- Dato, Datin- Datin dan seterusnya para hadirin yang budiman,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bagi pihak Kumpulan ‘Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan’ (RMP) dan Yayasan 1Malaysia ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin sekalian.

Kehadiran saudara dan saudari amat disanjungi.

Kenapa inisiatif ini— inisiatif untuk menjadikan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan Malaysia?

Inisiatif ini diambil atas beberapa sebab.

­Pertama, kebanyakan perlembagaan nasional mengandungi Mukadimah atau preamble— 160 negara daripada 193 negara.

Kedua, Mukadimah pada lazimnya, menekankan nila-nilai sejagat dan unsur-unsur setempat, selain daripada prinsip-prinsip yang berhubungkait dengan Perlembagaan. Rukunegara kita memiliki ciri-ciri ini.

Ketiga, sepertimana diketahui umum, Rukunegara digubalkan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN) yang terdiri daripada 67 anggota yang mewakili semua sektor penting dalam masyarakat. Semua kaum dan agama ada wakilnya. Selain daripada pemimpin-pemimpin kerajaan, ketua-ketua parti pembangkang juga mengambil bahagian dalam perundingan MPN. Perbincangan dan perundingan berlaku selama 8 bulan—dari Januari sehingga Ogos 1970. Akhirnya, ahli-ahli MPN mencapai kata sepakat.  Sesungguhnya, Rukunegara adalah hasil muafakat melalui proses mesyuwarah.

Keempat, insan yang mengemudi proses mesyuwarah ini adalah negarawan tersohor kita, Allahyarham Tun Abdul Razak, merangkap pengerusi MPN. Mencapai muafakat di kalangan keanggotaan MPN yang begitu berbeza pendapat adalah satu kejayaan yang gemilang. Rukunegara adalah antara legasi Tun Razak yang harus diberi nafas baru dalam suasana yang wujud kini.

Kelima, lagi pun, Rukunegara telah diisytiharkan kepada rakyat pada Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 1970, oleh DYMM Yang Dipertuan Agung yang keempat, Almarhum Sultan Terengganu. Ini bermakna bahawa perisytiharan Rukunegara telah dilakukan oleh penyandang jawatan yang paling tinggi di negara kita, pada tarikh yang paling istimewa.

Keenam, walaupun perisytiharan Rukunegara berlaku 46 tahun dahulu, naskah ini lebih relevan hari ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sebagai contoh, ambil sahaja cita-cita pertama Rukunegara, ‘perpaduan yang lebih erat’. Dalam situasi di mana sikap eksklusif kian merebak, kita perlu menggalak dan memasyhurkan suatu fahaman yang inklusif. Rukunegara memenuhi kehendak ini.

Begitu juga, cara hidup demokratik, cita-cita kedua Rukunegara, harus diberi keutamaan dalam keadaan di mana akauntabiliti semakin merosot. Oleh kerana jurang perbezaan antara kaya dan miskin kian melebar, pembahagian kekayaan negara secara adil dan saksama — cita-cita ketiga Rukunegara —  lebih mendalam maknanya pada saat ini. Prinsip keluhuran perlembagaan perlu dipertahankan sekiranya golongan-golongan berpengaruh menyimpang daripada keseimbangan yang termaktub dalam perlembagaan. Rakyat harus menekankan satu lagi prinsip, kedaulatan undang-undang, untuk mencegah pihak-pihak tertentu daripada mengamalkan sikap pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang.

Ini bermakna bahawa dalam landskap yang wujud dewasa ini, cita-cita dan prinsip-prinsip Rukunegara bukan sahaja tetap relevan, namun dapat diguna pakai sebagai kayu ukur dan alat pencegahan untuk memastikan kesejahteraan masyarakat.

Ketujuh, oleh kerana Rukunegara tidak dapat memainkan peranan ini, oleh kerana ia telah diketepikan, dipinggirkan dalam beberapa dasawarsa ini, kecenderungan-kecenderungan lain muncul,  yang eksklusif dan dangkal, yang bertentangan dengan perpaduan masyarakat dan keutuhan negara.  Kecenderungan-kecenderungan ini bersandarkan pada tafsiran sempit undang-undang dan peraturan-peraturan agama tertentu yang menjejaskan keindahan agama tersebut. Sekiranya kecenderungan ini lebih berpengaruh pada masa depan, karakter dan keperibadian negara kita akan berubah sama sekali. Itulah sebabnya, warga Malaysia perlu mengingatkan diri kita sendiri tentang Rukunegara dan betapa pentingnya satu ideologi, satu wawasan hidup yang menyeluruh dan inklusif.

Atas kesedaran inilah, saya dan sahabat-sahabat saya, telah mewujudkan satu kumpulan kecil untuk memperkukuhkan peranan Rukunegara dalam masyarakat kita. Kami sedar bahawa Rukunegara harus dijadikan sebahagian daripada arus perdana masyarakat kita. Ini memerlukan usaha yang lebih gigih untuk meyerapkan cita-cita dan prinsip-prinsip Rukunegara dalam sistem pendidikan nasional di semua peringkat.

Rukunegara harus dijadikan garis panduan dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan program. Rukunegara harus dianggap sebagai salah satu sumber rujukan dalam pembentukan undang-undang. Itulah sebabnya Rukunegara harus dikaitkan dengan perlembagaan nasional. Sebagai mukadimah kepada perlembagaan, Rukunegara boleh memainkan peranannya sebagai saluran cita-cita nasional dan prinsip-prinsip kemasyarakatan. Malah, Rukunegara harus muncul sebagai pegangan hidup rakyat kita.

Ini yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden PAS pada tahun 1970, yang juga ahli Majlis Perundingan Negara (MPN) yang  telah menggubalkan Rukunegara. Kata Allahyarham Dato Hassan Adli bin Haji Arshad pada 20 Oktober 1970, “Rukunegara jangan hanya menjadi perhiasan di bibir pemimpin-pemimpin politik sahaja, tetapi hendaklah juga dijadikan pelita hati”.

Itulah matlamat saya dan sahabat-sahabat saya dalam kumpulan RMP. Harus saya memperkenalkan nama-nama mereka : Cik Firdaus Husni, Profesor Madya Madeline Berma, Datin Paduka Marina Mahathir, Profesor Shad Saleem Faruqi, Profesor Tan Chong Tin dan Cik Zainah Anwar. Kumpulan kami dibantu oleh Yayasan 1Malaysia sebagai Sekretariat yang terdiri daripada Cik Ong Yuen Ling, Encik Ishak Sairozi dan Cik Siti Aishah yang menyumbang kepada usaha ini dengan penuh dedikasi.

Selama 6 bulan, kami bertungkus-lumus untuk memberi makna kepada Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan. Harus ditegaskan di sini, kumpulan kami bukan yang pertama yang mencadangkan agar Rukunegara diberi pertimbangan sebagai Mukadimah Perlembagaan. Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas, pernah mengemukakan cadangan ini pada Februari 1971. Kebetulan pada hari ini, 23 Januari, genap 10 tahun beliau kembali ke Rahmatullah. Seorang lagi pemimpin, yang juga ahli MPN yang mahu Rukunegara diberi status dalam perlembagaan adalah mendiang Senator Athi Nahappan, yang pernah menjadi Menteri Kabinet pada satu masa dahulu.

Tetapi inisiatif kumpulan kami merupakan inisiatif pertama untuk menggembleng warga Malaysia ke arah matlamat murni ini — iaitu menjadikan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan.  Dalam fasa pertama inisiatif ini, kumpulan RMP menjemput beberapa individu dari semua kaum untuk menyokong matlamat kami. Sebahagian daripada mereka merupakan aktivis masyarakat.  Lebih 100 warga Malaysia  yang dikenali oleh kumpulan RMP merestui usaha ini.

Berdasarkan restu  mereka, kumpulan RMP melancarkan inisiatif ini pada hari ini. Selepas pelancaran ini, semua rakyat Malaysia yang dewasa dijemput untuk menyokong inisiatif ini untuk menjadikan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan Malaysia. Adalah diharapkan bahawa dalam tempoh 3 bulan ini — iaitu hingga 30 April 2017 — mereka yang prihatin tentang Malaysia dan masa depannya akan memberi sokongan.

Dalam fasa kedua ini, selain daripada tandatangan khalayak ramai, permohonan untuk menjadikan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan akan dipersembahkan kepada Persidangan Raja-Raja. Oleh kerana Rukunegara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1970, Persidangan Raja-Raja adalah institusi yang paling layak untuk memberi pertimbangan kepada inisiatif rakyat ini. Adalah diharapkan bahawa Persidangan Raja-Raja akan menasihati Kabinet dan Parlimen untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyerapkan Rukunegara dalam Perlembagaan sebagai Mukadimahnya. Ini bermakna bahawa permohonan rakyat ini juga akan dihantar kepada Perdana Menteri dan Kabinet serta ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Hanya melalui pindaan Perlembagaan yang disokong oleh dua-pertiga ahli kedua-dua Dewan dapat kita menjadikan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan.

Rakyat Malaysia harus membuktikan iltizam mereka untuk mencapai hasrat yang mulia ini.  Kita mesti menyedari dan memahami betapa pentingnya misi ini dari segi keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama. Kita mendahagakan visi yang dapat menyatupadukan kita semua — visi yang merupakan khazanah kita selama 46 tahun.

Marilah kita jadikan ‘Rukunegara Mukadimah Perlembagaan’ azam kita semua untuk tahun 2017 — iaitu ulang tahun ke 60 Kemerdekaan kita dan ulang tahun  ke 54 pembentukan Malaysia.  Sekiranya kita benar-benar ‘komited’ dan sanggup membuktikan ‘Komitmen’ melalui tindakan, saya yakin dan percaya bahawa  impian akan menjadi realiti— insya’Allah.

Akhir kalam, bagi pihak Kumpulan RMP dan Yayasan 1Malaysia, izinkan saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dengan kami untuk menjayakan inisiatif ini — Institut Integriti Malaysia dan presidennya, Dr. Anis Yusal Yusuf; New Straits Times dan Ketua Pengarangnya, Dato Abdul Jalil Hamid; Perpustakaan Nasional;  Arkib Negara; Jabatan Penerangan Malaysia; PDRM;   beberapa penderma yang menyumbang dengan ikhlas ; dan saudara-saudari sekalian yang menyokong usaha murni ini.

Terima kasih ! Terima kasih ! Terima kasih !

The Categories: Uncategorized
  • Lettie

    Too many cotmnimelps too little space, thanks!

    Reply

Leave Comment