TULARKAN RUKUNEGARA

Usaha sekumpulan warga yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan (Kumpulan RMP), yang membawa agenda ingin menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah perlembagaan merupakan sesuatu yang perlu dipuji. Lupakan seketika individu yang berdiri di belakang inisiatif ini. Perkara yang harus kita lihat ialah idea dan hasrat murni sekumpulan warganegara Malaysia yang jelas cuba mengembalikan sebuah ideologi nasional yang tidak berdendang setelah sekian lama.

Usaha ini membuka mata banyak pihak, baik yang menyokong mahupun menentang. Masing-masing cuba berhujah dengan sihat dan terbuka. Ini menampakkan bahawa ada tanda positif yang dibawakan oleh Kumpulan RMP dimana Rukunegara telah berjaya menjadi sebutan semula di awal tahun 2017 ini. Segala apa sahaja yang dibahaskan, dikupas dan dirungkai tentang wajar atau tidak Rukunegara menjadi mukadimah perlembagaan akan terpahat sebagai suatu sejarah tentang usaha memartabatkan peranan Rukunegara ke satu tahap yang lebih tinggi berbanding kedudukannya dewasa ini.

Usaha memartabatkan Rukunegara ini adalah satu contoh yang baik dan perlu diikuti. Pada zaman milenia ini, kita sudah tidak lagi kisah akan peranan sebuah ideologi yang dahulunya penting dan diangkat sebagai suatu pengikat masyarakat. Generasi pada masa kini tidak mengangkat Rukunegara sebagai sebuah permata yang berharga kerana fungsinya hanya sebagai titian kata dibibir yang dilafazkan ketika perhimpunan semata-mata. Generasi kini terus akan melupakan Rukunegara sebaik sahaja zaman persekolahan mereka tamat. Hasilnya, Rukunegara tidak dapat dihayati sehingga ke jiwa.

Rukunegara juga bukanlah suatu yang dianggap sebagai perkara keperluan kepada golongan pertengahan usia iaitu daripada 20-an hingga ke 40-an. Pada masa ini, rakyat sedang dalam kepayahan untuk mencari jalan keluar daripada zaman kegawatan. Rakyat lebih selesa mengumpul harta dan kekayaan berbanding bercerita tentang perpaduan yang pada mereka sudah lapuk ditelan zaman. Justeru, pembudayaan ilmu tentang Rukunegara tidak ditularkan kepada mereka yang berkaitan.

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk menularkan Rukunegara ke dalam jiwa masyarakat. Usaha yang cuba dilakukan oleh kumpulan RMP adalah salah satu langkah yang pragmatik. Terdapat beberapa usaha lain yang turut sama boleh diunjurkan sebagai cadangan memperkasakan ideologi nasional ini. Antaranya ialah dengan menjadikan ia sebagai salah satu bacaan wajib di kawasan-kawasan tumpuan. Idea ini pernah cuba dipraktikkan oleh bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim pada suatu ketika dahulu. Walaupun ia tidak berjaya dilaksanakan secara total, ia tetap mendatangkan impak yang berkesan jika dijalankan dengan penuh prihatin. Sebagai contoh, dendangan Negaraku pada awal pagi dan bacaan doa di tempat rasmi kerajaan merupakan salah satu usaha yang bagus untuk menambah aura positif dalam kehidupan seseorang.

Cadangan menambah ikrar Rukunegara setiap pagi akan membawa golongan pekerja untuk tidak akan sesekali lupa bahawasanya negara kita Malaysia, mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
  • Memelihara cara hidup demokratik
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

 

Langkah ini akan membantu setiap masyarakat memulakan pagi dengan lafaz ikrar yang membawa makna yang cukup indah untuk menggambarkan rakyat Malaysia.

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

 

Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah mengambil insiatif untuk memperkasakan Rukunegara melalui penubuhan Kelab Rukunegara di sekolah-sekolah dan Sekretariat Rukunegara di universiti awam dan swasta. Setakat ini, terdapat 3745 kelab Rukunegara di sekolah rendah dan 2323 buah kelab Rukunegara di sekolah menengah di seluruh Malaysia. Di universiti awam dan swasta sekretariat Rukunegara ditubuhkan untuk memastikan mahasiswa mampu menyampaikan mesej tersirat tentang Rukunegara dalam kelompok varsiti. Langkah diambil oleh JPNIN ini harus dijadikan sebagai suatu langkah positif yang menggalakkan penyebaran Rukunegara dalam kelompok masyarakat.

Seterusnya, kita harus juga memikirkan langkah-langkah untuk menyebarkan ideologi nasional ini kepada masyarakat di kawasan luar bandar. Keterbatasan kita untuk mencapai semua pihak khususnya dalam sesetengah bidang  menyukarkan kita untuk mendidik masyarakat secara total. Justeru, langkah yang paling berkesan untuk menyebarkan ideologi nasional ini ialah dengan memaksimumkan penggunaan media massa yang mempunyai jaringan yang meluas dan pantas. Akhbar-akhbar tempatan ada dimana-mana sahaja di Malaysia. Rancangan televisyen percuma juga mempunyai jaringan penonton yang meliputi seluruh penduduk. Berdasarkan hal ini, kita seharusnya menggunakan kuasa media untuk terus-menerus menyebar dan menyiarkan tentang Rukunegara kepada masyarakat supaya Rukunegara dimengerti dan difahami. Ini akan sekaligus membawa perubahan makna yang besar kepada Rukunegara.

Percayalah, Rukunegara adalah ideologi nasional yang paling utuh untuk menyatu-padukan masyarakat Malaysia. Bukanlah hendak menidakkan ideologi yang lain, tetapi sejarah penciptaan Rukunegara itu sendiri sudah dimulakan dengan perpaduan yang utuh. Ia bukannya sebuah ideologi politik semata-mata. Ia adalah gabungan daripada semua pihak yang ingin melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu-padu dan tidak berasaskan kaum. Kita sudah hampir 60 tahun merdeka tetapi masih belum ada satu sebab yang kuat untuk kita berdiri atas nama bangsa Malaysia. Ini perlu diubah. Rukunegara harus menjadi pemula kepada kejayaan ini. Kita semua, hatta daripada berstatus tinggi hinggalah kepada golongan rakyat biasa harus memulakan langkah mempopularkan semula Rukunegara. Kita sudah tiada terlalu banyak masa. Semoga Malaysia yang sejahtera dapat kita bina dengan tertularnya semangat Rukunegara dalam rakyat Malaysia.

The Categories: Uncategorized

Leave Comment