Ulasan Matlamat Rukunegara

RUKUNEGARA

 

Ulasan mengenai Objektif 1

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya

 

Salah satu masyarakat pelbagai etnik paling kompleks di dunia, Malaysia telah mencapai tahap keamanan antara etnik yang mengagumkan sepanjang enam dekad yang lalu.  Malaysia telah mewujudkan corak perkongsian kuasa yang mengambil kira latar belakang sejarah negara dan realiti-realiti masa kini; mengurangkan sedikit sebanyak jurang antara etnik dari segi sosio-ekonomi; dan melindungi identiti-identiti etnik tertentu dan pada masa yang sama mewujudkan satu bentuk ikatan terhadap negara dan beberapa bentuk serta simbolnya.

 

Walau bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan. Keterangkuman politik perlu dipertingkatkan dengan cara menghapuskan halangan etnik dalam pelbagai ruang.  Masih terdapat sedikit sebanyak pengenalpastian komuniti dengan aktiviti dalam kedua-dua sektor awam dan swasta yang tidak membantu ke arah interaksi dan integrasi antara kaum.  Kesedaran identiti etnik sendiri masih lagi menebal dan sering mengakibatkan polarisasi etnik.  Agama kian dijadikan sebagai saluran untuk sifat eksklusiviti yang menjejaskan keharmonian dan persefahaman antara penganut agama.  Dan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak kini lebih lantang bersuara untuk menuntut supaya hak-hak dan autonomi yang dijanjikan kepada mereka semasa pembentukan Malaysia pada 1963 diberikan.

 

Langkah-langkah efektif perlu diambil dari sekarang untuk mempertingkatkan interaksi dan integrasi dalam ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan politik.  Jurang antara taraf, komuniti dan wilayah patut dirapatkan.  Rakyat Malaysia tidak seharusnya hanya sedar tentang nilai-nilai yang dikongsi bersama tetapi juga kepentingan-kepentingan yang menyatukan mereka sebagai rakyat dalam negara yang sama.  Mereka yang memegang tampuk kuasa dan pengaruh daripada semua komuniti harus menunjukkan kehendak untuk mewujudkan suatu persekitaran yang boleh mengukuhkan komitmen rakyat ke arah matlamat bersama.

 

 

Ulasan mengenai Objektif 2  

Memelihara satu cara hidup demokratik

 

Cara hidup demokratik adalah bercirikan kepada beberapa asas kepercayaan, prinsip, institusi, amalan dan proses.

 

Kepercayaan terhadap kesucian hidup dan maruah setiap manusia adalah asas cara hidup demokratik.  Menghormati perbezaan pendapat juga adalah perlu, dan legitimasi percanggahan pendapat secara aman patut diiktiraf sebagai suatu prasyarat untuk suatu masyarakat demokratik berfungsi secara berkesan.  Pentadbiran secara demokratik hanya boleh diwujudkan jika terdapat kepatuhan ikhlas terhadap prinsip-prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.

 

Demokrasi secara definisi ialah komited terhadap perlindungan dan kemajuan hak-hak asasi manusia yang diiktiraf secara universal.  Hak-hak adalah seiring dengan melaksanakan tanggungjawab manusia yang penting untuk kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.  Apabila hak-hak diimbangi dengan tanggungjawab, persepakatan dan kerjasama akan diwujudkan dengan lebih mudah dan membantu mengukuhkan asas demokrasi negara Malaysia.

 

Ini adalah penting dalam amalan perkongsian kuasa dan menjadi penentu bagi menjayakan demokrasi dalam sesebuah masyarakat seperti kita.  Bukan sahaja semua komuniti kebudayaan dan keagamaan perlu merasakan bahawa mereka berkongsi kuasa; rakyat disemua wilayah dalam Persekutuan Malaysia juga patut berkongsi kuasa secara adil dan saksama.  Ini penting terutamanya bagi rakyat-rakyat di Sabah dan Sarawak.

 

Suatu tatanegara persekutuan yang ikhlas dan sistem pilihan raya yang adil dan saksama akan memberi sumbangan yang besar ke arah cara hidup demokratik.  Ia memberi makna kepada penyertaan popular orang ramai dan hak-hak rakyat.

 

Sama seperti di atas, badan kehakiman yang bebas, Parlimen yang berperwakilan dan badan eksekutif yang bertanggungjawab adalah perlu untuk meningkatkan dorongan-dorongan demokratik negara kita.

 

Terdapat juga prasyarat-prasyarat yang berkaitan dengan keadilan ekonomi dan sosial yang amat penting untuk pemeliharaan suatu cara hidup demokratik.

 

Ulasan Mengenai Objektif 3

 

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama

 

Jurang perbezaan antara masyarakat dan kawasan bukan hanya satu-satunya cabaran kita pada hari ini.  Cabaran yang sama wujud melalui jurang perbezaan dalam masyarakat.  Jika segala bentuk jurang perbezaan menjadi semakin serius, sebahagiannya adalah disebabkan oleh falsafah ekonomi yang dipraktikkan oleh negara dan swasta.  Falsafah ini berorientasikan kepentingan golongan elit — walaupun secara retoriknya berbeza.  Pada hakikatnya inilah fahaman utama dunia.

 

Jika kita komited untuk mengagihkan kemakmuran negara secara saksama, kita perlu lari daripada falsafah ini dan menerima buah fikiran dan pendekatan-pendekatan yang melaungkan prinsip pertama dalam Rukunegara; kepercayaan kepada Tuhan.  Maruah manusia dan keadilan untuk rakyat akan menjadi keutamaan kita. Kita akan memeriksa dengan kritikal pemilikan dan kawalan sumber-sumber, struktur permodalan, dan corak pendapatan dalam negara ini.  Kita akan mengubah jenis pendidikan yang ditawarkan kepada golongan muda dan mempertingkatkan tahap kemahiran mereka.

 

Perubahan yang bakal kita perkenalkan akan menambah kemakmuran dan meningkatkan pendapatan majoriti rakyat. Sebagai kesannya, ini akan mengurangkan jurang perbezaan dalam komuniti, antara masyarakat dan antara kawasan.  Pengagihan kemakmuran yang saksama yang kami jangkakan akan menyamaratakan peluang.  Ia akan membawa kepada suatu situasi di mana akan terdapat lebih penekanan terhadap keperluan dan bukannya etnik dalam pengurusan ekonomi.  Ini juga akan membantu menyemak penyalahgunaan etnik dan identiti oleh segelintir orang untuk segelintir orang. Suatu falsafah yang berbeza dan pendekatan yang berbeza berkemungkinan dapat membantu untuk mewujudkan suatu masyarakat yang adil.

 

Ulasan Mengenai Objektif 4

 

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.

 

Suatu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan Malaysia yang kaya dan berbagai corak menunjukkan sifat yang akomodatif dan inklusif oleh rakyat berbilang etnik terhadap satu sama lain.  Ia mencerminkan penerimaan dan  keraian kepelbagaian agama dan budaya kita.  Ia menunjukkan rasa hormat terhadap hak beragama dan kebudayaan setiap rakyat di Malaysia.

 

Rasa hormat terhadap seorang individu lain perlu menjadi teras dalam identiti rakyat Malaysia yang sentiasa berkembang. Melalui institusi kekeluargaan, keagamaan dan kebudayaan, sekolah dan media, seseorang boleh mengukuhkan rasa hormat sesama sendiri.   Rasa hormat perlu diperkukuhkan melalui perasaan empati.  Hanya apabila terdapat perasaan empati antara etnik yang kuat, maka Malaysia akan menjadi satu contoh terulung sebuah negara berbilang kaum yang berjaya yang boleh memberi harapan kepada seluruh umat manusia.

 

Untuk memupuk perasaan empati, mengetahui dan memahami agama dan budaya kita yang kaya dan kepelbagaian adalah sangat penting.  Ketaksuban, cauvinisme dan sikap perkauman patut dimansuhkan.  Negara dan masyarakat, kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam perkara ini.

 

Ulasan Mengenai Objektif 5

 

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

 

Walaupun ciri-ciri masyarakat progresif adalah daripada pelbagai dimensi, adalah dipersetujui secara meluas bahawa sains dan teknologi akan memainkan peranan yang penting dalam masyarakat tersebut.  Penyelidikan dalam sains asas akan diberikan penekanan yang lebih kerana ini adalah jenis penyelidikan yang mewujudkan inovasi yang amat diperlukan.  Sistem pendidikan di peringkat yang berlainan perlu menjurus ke arah matlamat ini. Sektor industri juga perlu memainkan peranan.

 

Pada masa yang sama, teknologi akan dimanfaatkan sebagai alat untuk pembangunan yang lestari dan adil. Ini kelak akan sentiasa, memanfaatkan manusia daripada hanya semata-mata untuk memperbanyakkan keuntungan yang tertumpu kepada modal sahaja. Seharusnya, sains dan teknologi perlu membantu mempertingkatkan maruah manusia dan mengukuhkan keadilan sosial.

 

Masyarakat progresif yang sentiasa peka terhadap keadilan dan maruah diri juga akan memberi perhatian yang sama terhadap kesenian dan kemanusiaan.  Kedua-dua kerajaan dan masyarakat akan sama-sama menggembleng sumber-sumber secara maksimum bagi mewujudkan sokongan kepada pelbagai usaha yang melibatkan kesenian dan kemanusiaan.  Memelihara aspek-aspek kebudayaan kita yang masih wujud tetapi tetap terbuka kepada pengaruh-pengaruh luar yang positif yang akan menjadi pedoman dan panduan sambil kita berusaha ke arah masa hadapan yang progresif.

 

The Categories: Uncategorized

Leave Comment