Ulasan Prinsip Rukunegara

RUKUNEGARA

 

Ulasan Mengenai Prinsip 1

Kepercayaan kepada Tuhan

Malaysia telah diasaskan atas kepercayaan yang teguh kepada Tuhan.  Kepercayaan ini membawa implikasi bahawa intipati hidup dan matlamat hidup adalah bersifat rohaniah.  Nilai-nilai moral universal seperti kejujuran dan kebaikan seharusnya membimbing perilaku manusia dan membentuk hubungan sesama manusia.

 

Kepercayaan kepada Tuhan menekankan hubung kait dalam ciptaan yang mana terasnya adalah perpaduan seluruh umat manusia.  Perpaduan ini menuntut supaya kita melayan setiap manusia dengan bermaruah dan rasa hormat.  Dengan melindungi dan meningkatkan maruah manusia, tanpa mengira etnik atau agama, darjat atau jantina, wilayah atau kawasan asal, barulah kita dapat memastikan keadilan dan keamanan di Malaysia.

 

Pemahaman tentang kepercayaan kepada Tuhan ini patut dicerminkan dalam peranan Islam sebagai agama persekutuan.  Penganut setiap agama berhak untuk mengamalkan agama mereka tanpa paksaan atau desakan.  Diskriminasi tidak seharusnya wujud terhadap mana-mana warganegara atas alasan agama.

 

Agama tidak seharusnya dimanipulasi bagi tujuan politik sempit.  Ia tidak seharusnya menjadi alat untuk menyebarkan kebencian atau ketaksuban. Menggunakan keganasan atau pencerobohan atas nama agama adalah sesuatu kesalahan.

 

Ulasan Mengenai Prinsip 2

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Malaysia merupakan monarki berpelembagaan.  Kuasa Yang diPertuan Agong dan Raja-raja Negeri diperolehi daripada Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.  Raja-raja melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat dalam sempadan undang-undang.

 

Raja-raja berada di atas politik.  Mereka tidak harus terlibat dalam urusan perniagaan.  Mereka seharusnya mengikuti standard etika yang tinggi dalam kehidupan peribadi dan awam mereka.  Melalui perilaku yang mulia, barulah mereka boleh menetapkan contoh yang betul kepada rakyat.

 

Rakyat pula harus setia kepada Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja.  Kesetiaan kepada raja dan negara adalah salah satu rukun yang membawa keamanan dan kestabilan kepada negara kita.  Ia juga telah memainkan peranan dalam memastikan wujudnya satu tahap perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang etnik ini.

 

Ulasan Mengenai Prinsip 3

Keluhuran Perlembagaan

 

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dalam negara kita.

 

Sebagai undang-undang asas, ia memperihalkan cara bagaimana negara kita disusun atur, kerajaan ditadbir dan keadilan ditegakkan.

 

Perlembagaan Persekutuan mewujudkan pelbagai badan dalam negara kita; menetapkan kuasa-kuasa dan fungsi-fungsi serta memperuntukkan batas-batas terhadap kuasa-kuasa tersebut.  Ia memperihalkan kepelbagaian hubungan dalam negara sama ada sesama sendiri mahupun dengan rakyat.

 

Perlembagaan juga menyatakan dengan jelas nilai-nilai teras politik, agama, moral, kebudayaan dan ekonomi yang menjadi asas kepada masyarakat.

 

Perlembagaan memperuntukkan kerajaan yang berkesan.  Pada masa yang sama ia juga memperihalkan institusi, ideal, doktrin, prinsip dan tatacara yang bertindak sebagai benteng terhadap penindasan dan kezaliman.

 

Dalam perkara hak asasi manusia Perlembagaan memberi keseimbangan di antara keperluan masyarakat untuk suatu aturan dan hak individu untuk kebebasan.  Kuasa kerajaan dan hak warganegaranya diimbangi dengan baik.

 

Dalam masyarakat majmuk kita ini, Perlembagaan melindungi hak dan kepentingan pelbagai komuniti dalam semangat bertolak ansur dan kesederhanaan.  Kebenaran sejarah diimbangi dengan realiti kontemporari.  Kepentingan istimewa pelbagai wilayah juga diberi pengiktirafan. Perlembagaan bertujuan menyatukan semua komuniti dan wilayah menjadi satu kerakyatan bersama (common nationality).

 

Sebagai undang-undang yang tertinggi, Perlembagaan mengikat semua sektor masyarakat – eksekutif politik, angkatan tentera, perkhidmatan awam, Parlimen, badan kehakiman, agensi-agensi lain dalam kerajaan dan semua warganegara.

 

Keluhuran Perlembagaan dilindungi melalui semakan kehakiman iaitu kuasa mahkamah-mahkamah agung untuk memeriksa keesahan segala tindakan kerajaan dengan merujuk kepada perlembagaan.

 

Ulasan Mengenai Prinsip 4

 

Kedaulatan undang-undang

 

Kedaulatan undang-undang adalah suatu prinsip kerajaan yang baik dan susunan perlembagaan yang adil.  Prinsip ini bertindih dengan banyak prinsip mulia yang lain seperti prinsip kerajaan terhad, keperlembagaan, proses yang wajar dan keesahan yang saksama.

 

Ia berteraskan keesahan.  Sebuah masyarakat harus diperintah oleh kerajaan berteraskan undang-undang (government of laws) dan bukan secara rejim kuasa arbitrari. Perlu wujud keutamaan terhadap undang-undang dan peraturan daripada anarki dan persengketaan. Kekuasaan undang-undang perlu ada.  Tiada seorang pun patut dihukum atau didera tubuh badan dan harta benda kecuali atas pelanggaran undang-undang yang jelas dibuktikan dalam undang-undang lazim di hadapan mahkamah biasa.  Pegawai-pegawai kerajaan mesti menunjukkan rasa hormat terhadap undang-undang dan mesti mematuhi had kuasa  mereka.

 

Kawalan terhadap budi bicara badan eksekutif juga perlu wujud.  Semua kuasa haruslah tertakluk kepada hadnya.

 

Bagi mengamalkan kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas adalah perlu, yakni bebas daripada tekanan luar dan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusannya tanpa rasa takut atau pilih kasih.  Badan kehakiman tersebut perlu diberikan segala kuasa yang perlu untuk mentafsir dan menguatkuasakan undang-undang serta untuk memastikan pihak berkuasa awam berada dalam sempadan had keupayaan mereka.

 

Undang-undang tertinggi haruslah bersifat adil.  Undang-undang negara mesti menghormati dan menggalakkan kebebasan individu dan maruah diri serta menjaga hak kesamarataan dan harta benda. Mesti ada kepatuhan terhadap beberapa nilai hak asasi manusia yang substantif.

 

Keadilan sosioekonomi adalah sebahagian daripada kedaulatan undang-undang.  Jaminan undang-undang ke atas hak asasi manusia mesti diiringi dengan langkah-langkah sosio-ekonomi supaya hak-hak rasmi boleh dinyatakan secara realiti dan individu boleh merealisasikan maruah dirinya.  Mesti terdapat sokongan kuat kerajaan untuk membantu pihak yang lemah daripada ditindas dan terpinggir.  Kerajaan harus terlibat dalam skim penambahbaikan sosial untuk memperuntukkan kebajikan kepada mereka yang tidak berupaya untuk merealisasikan kebebasan dan hak mereka.

 

Ancaman terhadap kedaulatan undang-undang berpunca daripada penyalahgunaan kebebasan seperti mana penyalahgunaan kuasa.  Pihak kerajaan mesti berupaya untuk menguatkuasakan undang-undang dan perintah dan memastikan keadilan sosioekonomi dan keadilan undang-undang dijalankan.  Jenayah harus dikawal.  Rakyat harus menunjukkan kesetiaan terhadap undang-undang.

 

Ulasan Mengenai Prinsip 5

 

Kesopanan dan Kesusilaan

 

Kesopanan dan Kesusilaan adalah penting dalam mana-mana masyarakat.  Nilai-nilai ini membawa maksud yang lebih penting dalam masyarakat berbilang agama dan budaya seperti kita.  Melayani seseorang ahli daripada komuniti yang lain dengan hormat, kebaikan dan belas ihsan bukan hanya merupakan intipati untuk “kesopanan” tetapi juga akan meningkatkan keharmonian antara etnik.

 

Prinsip ini berserta nilai-nilai universal yang lain perlu disemai dalam keluarga.  Nilai-nilai ini patut menjadi asas perilaku masyarakat.  Teknologi maklumat dan komunikasi terkini patut dimanfaatkan untuk menyebarkan unsur-unsur kesopanan yang dapat memberi inspirasi untuk dicontohi oleh masyarakat umum.  Ini juga akan membuka hati dan minda orang kita.

 

Untuk kesopanan mengubah kesusilaan masyarakat secara kolektif, perlu ada komitmen penuh di setiap lapisan terhadap kejujuran, integriti dan sikap amanah. Mereka yang mengamalkan nilai-nilai ini patut diberi ganjaran manakala yang melanggarnya patut dihukum.  Apabila pemimpin-pemimpin dan rakyat menegakkan apa yang betul melalui perbuatan, taraf kesusilaan masyarakat akan menjadi tinggi.  Malaysia akan menjadi satu masyarakat berakhlak mulia yang dihormati oleh masyarakatnya sendiri dan dikagumi oleh orang luar.

 

The Categories: Uncategorized

Leave Comment